Dikejar pontianak
Anda mahu jadi pemburu hantu? Kalau mahu, saya ada pengalaman dan tip berguna yang hendak dikongsi.
Begini... di tempat tinggal saya di Segamat, Johor, ada sebuah tempat yang dinamakan Bukit Belah. Ia merupakan bukit yang dibelah bahagian tengahnya untuk dibuat jalan masuk ke perkampungan kami.
Panjangnya kira-kira satu kilometer dan di kiri dan kanannya ditanam pokok getah. Kawasan ini dikatakan berhantu.
Dahulu, setiap hari saya akan menaiki bas dari kampung ke sekolah menengah yang terletak berhampiran bandar Segamat. Pulang, hari sudah hampir senja. Ketika melalui Bukit Belah, saya akan menarik nafas dalam-dalam untuk mengesan bau wangi yang dikatakan datangnya dari perkampungan hantu serta bunian yang mendiami kawasan tersebut.
Saya juga memerhatikan di celah-celah pokok getah, mana tahu ada makhluk halus itu. Dikatakan, ada penduduk yang pernah melihatnya. Malah pernah berlaku kemalangan selepas pemandunya cuba mengelak daripada melanggar lembaga aneh yang melintas secara tiba-tiba.
Tapi sejak tingkatan satu hingga enam, tidak pernah sekalipun saya melihat atau terhidu benda-benda seram itu. Sampailah sekarang, impian saya untuk melihat hantu Bukit Belah belum tercapai.
Ops, saya bukannya berani sangat! Tapi saya hanya akan percaya sesuatu selepas saya menyaksikannya.
Apabila menjadi wartawan majalah Mastika mulai pertengahan 1996, keinginan untuk melihat hantu tambah membara. Ini kerana, saya perlu melihat hantu terlebih dahulu, barulah boleh menulisnya dengan tepat dan terperinci.
Itu tips pertama.
Menunggu hantu muncul
Keinginan itu mendorong saya untuk mengikut sebuah kumpulan pencari hantu di Kuching, Sarawak, pada 1999. Mengikut anggota kumpulan itu, sepanjang beberapa tahun menyertainya, mereka telah melihat pelbagai jenis hantu.
Antaranya, lembaga hitam yang tinggi lampai dan di bawahnya terdapat empat cahaya merah. Itulah hantu tinggi dan dua ekor anjing belaannya.
“Kalau toyol badannya kecil, pelesit wajahnya hodoh, air mata sentiasa menitis, merah menyala. Pontianak pula rambutnya panjang , muka tak jelas, warna putih,” kata anak muda yang bernama Jalal.
Pernah pada pukul 1.30 pagi di perkuburan mangsa kekejaman Jepun di Demak, Jalal dan anggota kumpulan itu menyaksikan kelibat hitam muncul dari kubur berkenaan.
Seorang lagi pemuda menceritakan, sewaktu mengintai hantu di air terjun Pasir Hulu, mereka terdengar suara perempuan mengilai-ilai, disertai dengan bau yang sangat harum. Apabila diintai, hilaian itu didapati datangnya daripada jelmaan seorang perempuan berpakaian serba putih.
Anggota kumpulan ini juga mendakwa pernah dikepung empat penjuru oleh hantu pocong, pontianak, toyol dan pelesit. Tangan ketua kumpulan ini pula lebam akibat dicakar.
Pelbagai lagi penampakan ngeri yang diceritakan, menyebabkan saya tidak sabar untuk melihatnya. Pukul 1.30 pagi, kami bertolak ke Demak. Tidak lama di situ, saya mula melalui satu pengalaman baru.
Kilasan bau-bauan harum mula menusuk hidung saya. Kemudian, dari jauh kelihatan objek-objek kecil separas lutut terkedek-kedek di tengah jalan.
“Itulah toyol,” kata mereka.
Pukul 1.45 pagi, sekali lagi toyol muncul. Ia berlari pantas, dari semak ke rimbunan lalang. Sepuluh minit kemudian, kami berlari masuk ke kereta selepas terhidu bau bangkai dan diiringi bunyi kayu patah. Itu petanda bahaya!
Kami terus mengintai, dan pada pukul 2.35 pagi, sewaktu meninjau sebuah kawasan lapang, sebiji batu kecil tiba-tiba hinggap di kepala saya!
Pukul 1.10 pagi esoknya, kami ke Perkuburan Semariang pula. Tapi baru tiga empat minit meninjau, kami lari lintang pukang kembali ke kenderaan.
Sebabnya, ada pontianak muncul dari celah pokok di tengah kubur dan melayang ke arah kam!
Kami bergerak ke Demak sekali lagi. Toyol masih terkedek-kedek, hantu panjang muncul di pinggir semak. Hantu itu lari bila dikejar, tapi bila kami berundur, ia mengekori, dan bila kami berhenti, ia juga berhenti.
Banyak lagi peristiwa seram yang dilalui, dan kesimpulan saya ialah:
1. Toyol di hujung jalan: Tempat itu memang banyak lalang dan belukar. Apabila disuluh cahaya dari arah belakang, nampaklah ia seperti objek yang bergerak-gerak.
Selain itu, hujan turun pada petang sebelum kami pergi mengintai. Air yang bertakung di lopak-lopak menyebabkannya membentuk seperti objek tertentu apabila disuluh cahaya bulan. Objek ini akan hilang apabila kita menghampirinya.
2. Dua ekor pontianak dan cahaya silau: Tidak lama selepas kumpulan itu menunjukkan sebiji mata pontianak di tengah kawasan lapang, saya lihat mata itu tiba-tiba bergerak bersama bunyi deruman enjin motosikal! Di belakang ‘mata’ itu ada ‘dua ekor pontianak!’ (Kawasan ini merupakan port pasangan kekasih berasmara!).
3. Dibaling batu: Sebenarnya ada anggota kumpulan itu di belakang saya. Saya syak dia yang membalingnya supaya aktiviti mereka nampak real.
4. Bau harum dan penampakan lain: Ya, saya ada terhidu bau-bau itu.
Betul atau bohong?
Keseluruhannya, terus terang saya katakan, sebenarnya saya langsung tidak dapat melihat semua hantu yang diceritakan itu. Hanya anggota kumpulan itu yang mendakwa demikian.
Bohong? Entahlah. Tapi memang saya tak nampak apa-apa. Kata mereka, mata orang yang baru dalam aktiviti ini masih belum dapat membezakan antara objek nyata dan makhluk ghaib. Hanya selepas beberapa kali terlibat, barulah mata kita dapat membezakannya.
Atau, mungkinkah mereka sengaja mereka-reka kewujudan hantu-hantu itu bagi memuaskan hati sendiri?
Lagipun, mereka begitu taksub dengan dunia mistik dan tidak pernah terdedah dengan pemikiran-pemikiran skeptikal. Jadi, apa yang dilihat semuanya dianggap benar.
Itu tip kedua.
Comments
Post a Comment