Sejarah Dusun Liwan Pahu (Dusun Liwan keturunan para pembesar Kerajaan Brunei kuno?)



Sejarah Dusun Liwan Pahu – Dusun Liwan keturunan para pembesar Kerajaan Brunei kuno?

1. Penghijrahan Suku Kaum Dusun.

Menurut legenda, sekitar 800 tahun dahulu, sebahagian suku kaum Dusun menetap di Brunei dan sebahagian menetap di Sabah. Mereka mendirikan kerajaan Boni kuno yang berpusat di Teluk Brunei, kerajaan ini juga digelar “poguni”, yang mungkin berasal dari akar kata “pogun”, ertinya “negeri” atau “daerah”.

 Pada zaman ini, suku kaum Melayu belum wujud di Brunei. Melanau, satu bangsa Dayak di Sarawak yang ketika itu berada di bawah pengaruh Majapahit, telah mengumpulkan sekutunya lalu menyerang wilayah kerajaan Boni; serangan ini dipercayai atas bantuan Sambas dan Majapahit. Raja Tugau berjaya mengalahkan Maharaja Boni yang ketika itu menguasai sekitar 14 negeri, kerajaan ini disebut “Fo-Ni” (Brown 1978:45-56).

Beberapa penulis barat merujuk sumber dari catatan China mengatakan pada tahun 1345, kerajaan Boni diperintah oleh penguasa yang digelar Sri Maharaja (Groeneveldt 1880:39). Pada abad ini (1300an), Boni mengalami tekanan dari dua pihak, satu daripada Sulu yang dikatakan telah menyerang wilayah Brunei dan bahkan ibu kota Brunei.

 Setelah Sulu diusir dan wilayah Boni aman selama beberapa waktu, muncul serangan baru yang lebih besar dari Kerajaan A-Lako dari Dayak Melanau yang ketika itu diperintah oleh Raja Tugau (juga dikenali sebagai Raja Makatunau dalam hikayat Visaya).

Raja Tugau berjaya menakluk Bintulu, Baram dan sampai ke Tutong Brunei. Cukup menarik, kerana di kalangan penduduk di Limbang dan Lawas Sarawak hari ini, masih ada legenda kaum Dusun yang telah bertukar etnik atau menyembunyikan identity mereka, bagi mengelakkan dibunuh oleh musuh. Maka, kaum Dusun di Baram dan Brunei telah melakukan penghijrahan ke Sabah, bergabung dengan kaum Dusun di Sabah. Mereka melakukan pelayaran dengan menyusuri laut, kemudian belayar ke arah Timur Sabah dan masuk ke pedalaman dengan melalui Sungai Labuk ke Sungai Liwogu (Shim [peta] 2007:18).

2. Datu Gorodong, pengasas sub suku Dusun Liwan, iaitu Liwan Pahu.

Rombongan penghijrah ini terdiri dari 9 orang datu dan 1 orang pangeran, salah satu daripada 9 datu itu adalah Datu Gorodong. Menurut legenda Dusun, Datu Gorodong merupakan salah satu daripada pemimpin kaum Dusun, puak yang dipimpinya kelak akan dipanggil “Dusun Liwan”. Datu Gorodong telah membawa puaknya ke satu kawasan, kawasan tersebut terletak di selatan Ranau dan di utara Tambunan, di mana dia kemudian mengasaskan Kampung Pahu. Dusun ini kelak akan dipanggil dengan nama “Dusun Liwan Pahu”. Keturunan puak ini kemudian tersebar di kawasan selatan Ranau dan utara Tambunan, mereka menjadi salah satu dari cabang puak Dusun Liwan. Salah satu daripada puak Liwan, iaitu puak Tuhawon, merupakan sub-suku Liwan yang berhijrah ke wilayah selatan Tambunan dan tersebar ke kawasan Mukim Sunsuron, Mukim Nambayan dan sampailah ke Mukim Monsorulung.

3. Kelahiran pemimpin besar Liwan.

Setelah beberapa ratus tahun berlalu, populasi suku Dusun Liwan dari sub Pahu mula berkembang banyak. Banyak di kalangan mereka berkahwin campur dengan suku Dusun Bundu yang datang dari Tamparuli dan Ulu Tuaran.

 Pada zaman ini, tidak ada sistem pemerintahan bercorak kerajaan di pedalaman, puak-puak Dusun dipimpin oleh pemimpin lokal dan mereka bertahan hidup dengan menjalankan hubungan antara sesama puak dan dengan suku Dusun yang lain, kerana pada zaman ini kegiatan headhunting menjadi budaya dan endemik di kalangan beberapa suku Dusun. Pada sekitar tahun 1820an, berkahwinlah Gubau dan Konditim dari suku Liwan Pahu dan suku Bundu, Konditim melahirkan anak yang mereka namakan Bungkar; anak ini lahir pada tahun 1830.

Pada sekitar tahun 1844, di usia sekitar 14 tahun, anak muda Pahu ini telah pergi ke Kampung Sayap untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri. Ia menamatkan pelajarannya pada usia 17 tahun, kemudian ia pulang ke Pahu.

4. Bungkar menjadi “Paramount Leader” untuk suku Dusun Liwan.

Bungkar, mewarisi jiwa dan wibawa kempimpinan Datu Gorodong. Puak pahu ketika itu mendiami kawasan yang agak kecil di wilayah utara Tambunan. Untuk menjamin survivaliti puak mereka, mereka perlukan tanah dan jaminan keselamatan.

Untuk itu, Gubau dan Konditim, dua tokoh Pahu yang terkenal kerana pemikiran bijaksana mereka telah mengambil langkah bijak dengan menjodohkan anak mereka dengan anak ketua puak Liwan terbesar di tambunan, iaitu, Liwan dari sub Tuhawon. Gubau dan Konditim bersama rombongan dari Pahu telah pergi ke Sunsuron dengan tujuan melamar anak ketua kampung Sunsuron. Ketua kampung Sunsuron ketika itu menerima dengan berbesar hati, kerana ketika itu mereka menghadapi konflik dengan suku Tagahas, dan memerlukan sekutu sebagai alliance utk menjaga keselamatan puak mereka. Bungkar akhirnya dinikahkan dengan anak ketua kampung Sunsuron yang cantik jelita bernama Enuoi.

Setelah Bungkar dan Enuoi berkahwin, Bungkar dan keluarganya sebanyak 7 orang telah berpindah ke Sunsuron. Bungkar mendirikan penempatan di tempat bernama “Borotutuan”, berdekatan kampung Sunsuron dan menguasahkan sawah padi. Penempatan ini dikatakan dikubui dengan “rudang”, tembok yang diperbuat dari bambu dan kayu yang diruncingkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan musuh. Setelah itu, banyak puak Pahu yang mengikuti jejak Bungkar, mereka menetap di Sunsuron dan berkahwin campur dengan puak Tuhawon, sehingga suku Liwan Sunsuron menjadi bartambah banyak, sehingga perkampungan menjadi perkampungan terbesar di Tambunan ketika itu. Ketika konflik terjadi antara suku Liwan dan Tagahas, rumah Bungkar diserang oleh suku Tagahas, suku Dusun yang terkenal gagah perkasa dan pemberani. Bungkar dan beberapa saudaranya melakukan serangan balas dan berjaya membunuh banyak musuh. Kerana Bungkar terkenal hebat dalam ilmu pertempuran, maka suku Liwan Sunsuron mengangkatnya menjadi pemimpin mereka, ketika itu Bungkar baru berusia sekitar 22 tahun.

Bermula daripada Datu Gorodong, suku Liwan Pahu telah melahirkan seorang pemimpin besar yang bernama Bungkar. Ketika peperangan semakin meluas ke seluruh daerah, puak-puak Liwan membentuk alliance di bawah pimpinan Bungkar Gubau, puak-puak Tagahas pula membentuk alliance di bawah pimpinan Sambatang. Perang headhunting antara kedua suku berterusan selama bertahun-tahun; perang ini hanya berhenti ketika Bungkar Gubau berjaya membunuh Sambatang.

Terdapat dua versi kisah kematian Sambatang, satu kisah mengatakan dia dibunuh ketika Bungkar dan pasukanya mengepung kubu Sambatang di Kampung Tibabar, Sambatang terbunuh ketika mempertahankan kubu mereka di Tibabar. Satu kisah lagi menceritakan, Sambatang terbunuh ketika Bungkar dan pasukannya menyerang Sambatang di rumahnya di Minodung. Serangan ke atas Minodung ini bertujuan untuk membalas dendam atas kematian kakak Bungkar yang dipotong kepalanya oleh Sambatang – Ben Randawi, 2018.
_____________________________

Sumber Gambar : North Borneo Philately.

Comments

  1. Kerajaan Brunei Lama sendiri memang diasaskan oleh kaum Dayak Dusunic, sebelum munculnya orang Melayu ke pesisir Borneo. Pantai Barat Borneo mulai dari Marudu sampai ke pesisir Brunei dihuni oleh kaum Dayak Dusunic. Kaum Dayak Dusunic pada hari ini terbahagi kepada Kadazandusun dan Bisaya (di Brunei dikenali sebagai Dusun Brunei).

    ReplyDelete
  2. Hingga kini masih ada dusun di berunai, dusun tutong

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Asal Usul Balan-Balan Atau Penanggal

Ratu Bunian-Puteri Gunung Ledang

Misteri Kampus UiTM Sabah Dan Hantu Melati !